Monday 19 August 2013

Kitar Semula Untungkan Masyarakat

Berita Harian, 26 April 2004
 
KETIKA pelbagai pihak mengetengahkan pelbagai teknologi seperti pirolisis
dan insinerator bagi mengatasi masalah pelupusan sampah yang semakin
meruncing di negara ini, kita seakan lupa bahawa isu ini sebenarnya mampu
diatasi jika setiap daripada kita menjalankan tanggungjawab masing-masing
dengan mengitar semula.
Jika usaha ini dilaksanakan setiap individu, pastinya kerajaan tidak
perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membina pelbagai
kemudahan pelupusan seperti insinerator yang menelan belanja RM1.5 bilion.
Jumlah itu cukup besar untuk dibelanjakan, tetapi menerusi kitar semula
kita tidak perlu berbelanja langsung, malah lebih menguntungkan. Ia
mungkin pelik bagi sesetengah pihak tetapi tidak bagi pasangan suami
isteri yang menggelar diri mereka sebagai `Wira Harian’.
Pasangan ini menjalankan projek kitar semula secara sendiri dengan
kerjasama orang tengah yang membeli barangan buangan daripada mereka.
Walaupun hasilnya tidak lumayan, ia masih berguna.
Don Theseira dan isterinya, Mylene Ooi menjalankan projek kitar semula
sejak tujuh tahun lalu dengan menggunakan teknik kitar semula mereka
sendiri, yang mudah dan boleh dilakukan semua orang.
Pasangan ini berpendapat orang ramai menggesa kerajaan dan majlis
perbandaran mencari penyelesaian terhadap masalah pelupusan sampah tanpa
menyedari mereka juga mengganggu usaha mencari penyelesaian kepada isu
itu.
“Sampah datang daripada kita sendiri, jika kita pandai mengurus sampah
ia tidak akan terbentuk, mengapa perlu menyusahkan kerajaan menyelesaikan
sesuatu yang kita lakukan,” kata Theseira.
Beliau berkata, program mengitar semula dengan meletakkan tiga tong
masing-masing berwarna kuning bagi barangan seperti tin aluminium, jingga
(kaca) dan biru bagi kertas di pusat mengitar semula tidak akan berjaya.
“Usaha kerajaan itu akan menjadi sia-sia jika rakyat sendiri tidak
mengambil inisiatif mengitar di rumah, kerana semuanya bermula dari
rumah,” katanya.
Theseira berkata, antara barang yang boleh di kitar semula ialah surat
khabar, buku dan majalah, kadbod, botol plastik, bekas plastik berwarna,
tin aluminium, bekas tin, pakaian lama, botol minyak dan bateri kereta.
Himpunan sampah yang menggunung di pusat pelupusan sampah tidak akan
terjadi jika barang tadi diasingkan untuk dikitar semula sebelum dihantar
ke pusat pelupusan sampah.
Manakala antara barang yang tidak boleh dikitar semula adalah bekas
minuman tetrapak, styrofoam, kasut, alat permainan, pembalut manisan,
barangan elektrik dan cermin.


Sumber

No comments:

Post a Comment